Wednesday, January 20, 2010




Azraai terpaksa akur lawan skuad bertaraf sekolah rendah

APA nak jadi dengan nasib skuad bawah 21 tahun kebangsaan yang lebih dikenali Harimau Muda senior?

Sudahlah tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Super kemudian ditolak penyertaan dalam Liga Super, kini dipalit aib bermain dengan pasukan bertaraf sekolah rendah.

Itulah hakikat yang terpaksa ditelan jurulatih Harimau Muda, Mohd Azraai Khor yang bersetuju untuk menerima pelawaan Khalsa Lions dari Melbourne, Australia untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Padang Kelab Kilat, petang semalam.

Bergelar juara treble, pasukan yang baru dua tahun ditubuhkan di bawah Persekutuan Punjabi Victoria, Australia itu jelas bukan saingan buat skuad kebangsaan yang mudah meraih kemenangan 4-1, sungguh pun ia seharusnya mencecah dua angka.

Dengan penjaga gol Khalsa yang bertubuh comel menghadapi kesukaran untuk menyepak melepasi garisan tengah, ia adalah sukar untuk mempercayai pelawat yang tiba ke Malaysia sebagai persiapan bagi menghadapi kejohanan di India itu mampu menjaringkan gol sagu hati.

Walau pun tidak memberikan saingan, skuad negara tetap sukar untuk menembusi pertahanan dibantu kegopohan barisan depan dengan babak pertama berakhir tanpa jaringan sebelum Shakir Ali meledakkan hatrik pada separuh masa pertama.

“Daripada mereka bermain sesama sendiri, sekurang-kurangnya perlawanan sebegini memberi mereka peluang menguji diri. Itulah perkara positif yang boleh saya katakan,” adalah rumusan Mohd Azraai selepas perlawanan berkenanaan.

Khalsa Lions sebenarnya dijadualkan bertemu Selangor namun atas sebab-sebab tertentu, Persatuan Bola Sepak Selangor membuat keputusan untuk membatalkan temu janji itu dengan Mohd Azraai menerima dengan tangan terbuka kehadiran mereka berikutan ketiadaan aksi yang dijadualkan buat mereka. (maklumat berita dari BERITA HARIAN)

No comments:

Post a Comment