Tuesday, January 29, 2013

PAFA tiada kuasa


Ipoh: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tiada kuasa dalam kerja pembaikan terhadap Stadium Perak.
Begitulah jelas Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengenai rungutan peminat Seladang berikutan kelewatan kerja-kerja meningkatkan pencahayaan di stadium itu yang hingga kini masih belum bermula.

“Saya perlu jelaskan, Stadium Perak bukan milik PAFA. Ia di bawah selenggaraan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Justeru PAFA tidak boleh berbuat apa-apa kecuali berharap MBI menyegerakan kerja di stadium agar dapat digunakan pada April,” katanya.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri membuat penjelasan itu berikutan PAFA disalahkan peminat atas kelewatan yang berlaku termasuk menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Zainol selaku Exco bertanggungjawab, beliau berjaya mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan kerja meningkatkan cahaya serta menaik taraf kemudahan asas di stadium itu.
“Apabila MBI memberitahu tiada dana, kerajaan negeri setuju membiayai kos melaksanakan kerja.

“Sepatutnya tidak ada masalah untuk memulakan kerja tapi hingga kini ia belum dimulakan.
“Mungkin ada prosedur dan peraturan kewangan yang perlu dipatuhi bagi mengelak berlaku tohmahan dan dakwaan terhadap pemberian tender kepada kontraktor.

“Apapun saya harap peminat bersabar. Seperti mereka PAFA juga mahu perlawanan Liga M diadakan semula di Stadium Perak dengan segera.” Berikutan penutupan stadium selama tiga bulan, semua lima perlawanan pusingan pertama Perak di tempat sendiri diadakan di Stadium TLDM, Lumut.

Namun dengan kelewatan kerja membaiki stadium itu kemungkinan Perak terpaksa terus menjadikan stadium di dalam pangkalan tentera laut itu sebagai gelanggangnya.
Petikan Dari Harian Metro

No comments:

Post a Comment